LANGKAWI – Kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV 4×4) Tarantula yang dirancang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) mencuri tumpuan orang ramai apabila dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
HMAV yang direka bentuk dan dibangunkan sepenuhnya oleh Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) itu dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan industri pertahanan tempatan.
Seorang pengunjung dari Kulim, Ku Nur Adzmina Ku Hassan, 31, berkata, kehadiran syarikat tempatan dalam industri ketenteraan adalah satu kebanggaan kepada negara.
“Sebelum ini banyak aset yang kita gunakan dari negara luar, termasuk jet pejuang yang digunakan untuk pertunjukan udara.
“Dengan kehadiran syarikat tempatan, kita boleh mengukuhkan lagi aspek keselamatan negara apabila aset ketenteraan dibina oleh warga sendiri,” katanya di sini hari ini.
Bagi Mohd. Sobri Abdul Kadir, 43, kemunculan produk tempatan itu mampu meletakkan negara setanding dengan negara pengeluar aset ketenteraan yang lain.
“Apabila kita ada aset yang kita sendiri hasilkan, kedaulatan negara akan dapat dilindungi dan Malaysia akan digeruni oleh pihak-pihak yang cuba menjatuhkan kita.
“Selain itu, Malaysia juga boleh bersaing dengan negara pengeluar lain yang turut membekalkan produk-produk berkaitan ketenteraan,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan telah menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Mildef bernilai RM1.88 bilion.
LoI tersebut antara lain melibatkan permohonan perolehan 136 unit kenderaan perisai jenis A HMAV Tarantula dan infrastruktur. – KOSMO! ONLINE