PENYERTAAN pasukan jemputan, Brunei DPMM FC dalam saingan Liga Super pada musim depan telah disahkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali gus menyaksikan kepulangan semula kelab berpangkalan di Borneo itu sejak edisi 2008.
Pengesahan itu dibuat selepas menerima kelulusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang membenarkan Brunei DPMM FC beraksi dalam liga divisyen utama negara bermula Ogos ini.
“Penyertaan DPMM FC pastinya menghidupkan semula kenangan dan saingan klasik dalam bola sepak negara. MFL amat mengalu-alukan kemunculan semula mereka dalam Liga Super,” kata kenyataan rasmi MFL.
Brunei DPMM FC akan bersaing bersama 13 lagi kelab yang memperoleh lesen kebangsaan daripada First Instance Body (FIB) semalam, termasuk juara 11 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sabah FC dalam saingan Liga Super.
Selain itu, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC serta Kelantan Darul Naim FC yang memperoleh lesen syarat selain dua pasukan dari Liga A1, Melaka FC dan Imigresen FC.
Dua kelab bermasalah musim lalu, Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA FC) pula tidak diberikan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak bersaing dalam kancah utama liga negara nanti.