fbpx
Rakaman lafaz talak pempengaruh ini menjadi tular dan dikongsikan semula di pelbagai platform media sosial.

Cerita dalam kelambu jangan jaja merata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA 15 Mei lalu, isu keretakan rumah tangga pasangan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall dan suaminya, ‘Aiman Tak Kisah’ sekali lagi meletup apabila mereka dikatakan bercerai buat kali kedua.

Cerai dilafazkan oleh Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, menerusi satu siaran langsung di platform TikTok yang dibuat Siti Jamumall atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 26.

Rakaman tersebut kemudian menjadi tular dan dikongsikan semula di pelbagai platform media sosial.

“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. “See you in court,” demikian lafaz cerai yang dilontarkan Aiman kepada isterinya itu.

Sebelum itu, dalam rakaman tersebut kelihatan berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan sebelum talak dilafazkan.

Ketika mereka bertengkar, kedengaran si suami berang apabila si isteri dikatakan menjaja kisah hidup mereka kepada sebuah portal mengenai kisah penceraian mereka pada 6 Mei lalu.

Jelas di sini, kisah dalam ‘kelambu’ dijaja di media sosial demi meraih perhatian pengguna untuk menaikkan ‘view’ dan rating ketika membuat penstriman secara langsung.

Isu atau masalah rumah tangga pada masa kini menjadi kelaziman untuk dijadikan sebagai konten bagi tatapan seluruh masyarakat di alam maya.

Mengulas mengenai isu lafaz talak, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, lafaz talak ini mengikut undang-undang syariah di Malaysia perlu dibuat di Mahkamah.

Katanya, lafaz cerai di luar mahkamah itu masih jatuh talak, cuma memandangkan ia kesalahan yang boleh didenda atau dipenjara, terdapat prosedur-prosedur yang perlu diikuti.

“Perlu buat permohonan lafaz cerai di mahkamah. Nanti bacalah pelbagai perkongsian peguam-peguam syarie yang berkongsi ilmu, ada banyak sebenarnya.

“Lafaz talak ketika si isteri sedang mengandung, jadi tempoh idahnya selepas melahirkan anak,” katanya.

Nor Zabetha berkata, cerita sensasi, simpati, kebencian dan segala yang bermain dengan emosi di internet sudah tentu mendapat perhatian.

Katanya, dibimbangi video atau situasi begini bakal jadi ikutan pihak lain yang mungkin ingin mengejar reach, engagement dan like.

Katanya, keadaan ini akan merosakkan akhlak masyarakat.

“Lama-lama perkara aib, rahsia kelambu dalam keluarga yang dipertontonkan di media sosial akan jadi norma baharu.

“Entahlah zaman sekarang, macam-macam video. Ada yang bersembang lucah, ada menceritakan hal dalam kelambu. Ada macam-macam jenis video-video yang di muat naik oleh warga kita, bebas sangat,”katanya.

Situasinya di Malaysia kini, satu sudut aktiviti di media sosial kelihatan dikawal dan ada satu sudut diberikan kebebasan tanpa sebarang tindakan.

“Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius dan memperkasakan garis panduan dan tindakan terhadap mana-mana video yang boleh memberikan kesan pada moral dan hala tuju masyarakat. Takut lama-lama tidak terbendung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN