JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim tidak berkecil hati dengan ketiadaan wakil Barisan Nasional (BN) semasa Kongres Nasional Tahunan AMK 2024 dan 2025, hari ini.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu memberitahu, jemputan telah diberikan bagaimanapun tiada maklum balas diterima.
“Ya, kita sudah keluarkan surat jemputan tetapi mereka tidak hadir. Kita juga sudah jemput Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk rasmikan kongres, tetapi mereka tidak dapat penuhi jemputan.
“Perasaan biasa sahaja, tiada rasa kecil hati atau apa-apa,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan kongres tersebut di Hotel Berjaya Waterfront, di sini.
Tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, beliau yakin usaha pendamaian akan dibuat melibatkan semua pihak yang bertelagah khususnya dalam kempen pemilihan kali ini.
“Semua pihak yang terlibat dalam pemilihan ini adalah individu yang taat dan setia pada parti, mereka bertelagah kerana masing-masing setia.
“Perpecahan hanya berlaku sekiranya tiada usaha ‘reconciliation’. Sewaktu pemilihan memang keadaan agak tegang dan runcing, jadi paling mustahak selepas pertembungan adalah tautkan kembali hubungan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE