fbpx

Lelaki maut dikelar rakan serumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga asing maut dalam keadaan mengerikan selepas dikelar dalam kejadian di sebuah rumah yang dijadikan hostel pekerja di Jalan SS 14, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 6.29 pagi daripada lelaki tempatan yang juga majikan mangsa.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa berusia 28 tahun telah mati dipercayai dikelar rakan serumahnya.

“Pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan siasatan di lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan hostel oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan cuci bangunan.

“Empat pekerja tinggal di premis tersebut dan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fairus, hasil risikan dan maklumat awam, pihaknya berjaya menahan suspek yang juga warga asing berusia 29 tahun tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi.

“Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dirampas. Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas pengambilan bahan terlarang,” katanya.

Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Siti Sarah Johari di talian 013-209 7958 atau IPD Subang Jaya di 03-7862 7222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI