PETALING JAYA – Seakan-akan memberi bayangan bakal menjadi milik orang, foto cincin berlian yang dikongsikan penyanyi Wani Kayrie dalam Instagram mencetuskan spekulasi.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Syafirah Abdullah, 24, seperti sengaja membiarkan pengikutnya berteka-teki apabila tidak menyertakan sebarang perincian gambar.
Sebaliknya, dia hanya menyertakan emoji cincin bersama bintang berlatarkan lagu duet Mahalini dan Rizky Febien, Bermuara yang dihasilkan sebelum perkahwinan mereka.
Begitupun, Wani tidak membalas panggilan mahupun mesej daripada Kosmo! Online bagi mengesahkan spekulasi ramai.
Sementara itu, wakil syarikatnya memaklumkan akan memberikan kenyataan selepas mendapat respons penyanyi terbabit.
“Buat masa ini pihak kami tidak dapat memberikan sebarang komen tetapi apabila tiba waktu yang tepat kita akan kongsikan perkembangan lanjut,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menerusi ruangan komen, ramai pengikut dan kenalan mengucapkan tahniah atas perkongsian tersebut dengan rata-rata menganggap Wani sudah bertunang.
Malah ada yang ‘memetik’ nama penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan yang sebelum ini pernah bergelar kekasihnya sebelum hubungan mereka putus di tengah jalan.
Begitupun, ketika majlis pernikahan teman seperjuangan, Sarah Suhairi pada Julai tahun lalu, mereka hadir berdua namun Wani mendakwa hanya sekadar bersahabat. – KOSMO! ONLINE