PUTRAJAYA – Bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Jovian Mandagie menjadi saksi terbaharu yang akan disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya dimaklumkan Jovian kini berada di Indonesia dan sudah menetap di negara itu.
Beliau berkata, pihaknya akan ke Indonesia dalam tempoh seminggu dua ini bagi mengambil keterangan usahawan berkenaan.
“Kita tidak boleh memaksa beliau (Jovian) datang ke sini, sebaliknya kita kena pergi jumpa beliau di sana (Indonesia) memandangkan beliau sudah menjadi rakyat negara itu.
“Saya sudah meminta Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainal Darus untuk mempercepatkan proses ambil keterangan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pihaknya menjangkakan siasatan terhadap Ismail Sabri akan selesai Jun ini.
Azam berkata, bekas Perdana Menteri itu telah membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan pihaknya sedang menganalisa sumber-sumber dan aset berkenaan. – KOSMO! ONLINE