PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kemudahan kepada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta untuk membuat pilihan menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 bermula 26-28 Mei ini.
KPT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum pelaksanaan penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang.
“Setiap IPT diminta membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26 hingga 28 Mei ini untuk menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian.
“Ia bagi memastikan warga tidak terkesan dengan kesesakan aliran trafik. Pelajar dan warga IPT yang terkesan turut boleh berhubung dengan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPT berkata, pihaknya yakin PdP secara dalam talian akan memberi kemudahan kepada warga untuk merancang pergerakan dan dalam masa sama memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar. – KOSMO! ONLINE