TANJUNG MALIM – Anak kepada Allahyarham Muhammed Sharif Hashim yang maut dalam nahas membabitkan Proton Saga dan Toyota Hilux di Jalan Kuala Slim, Slim River di sini semalam, memaklumkan arwah ayahnya tidak sempat untuk melihat rumah baharu kakaknya di Teluk Intan.
Muhammad Zulasyraf Muhammed Sharif, 23, berkata, arwah sebelum ini begitu teruja melihat sendiri rumah kakaknya, Fitrah Hamizah, 31, minggu depan.
“Kakak saya juga bercadang untuk buat makan-makan sekeluarga ibarat majlis ringkas masuk rumah baru di Lagenda, Teluk Intan. Arwah begitu teruja dan tidak sabar bersama kesemua sembilan anaknya, menantu serta cucunya.
“Kakak saya seorang suri rumah sementara suaminya bekerja sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan, Pahang,” katanya ketika ditemui di Felda Gunung Besout 5, Sungkai di sini hari ini.
Kosmo! melaporkan semalam, dua warga emas iaitu Muhammed Sharif Hashim dan Sha’aarudin Aman masing-masing berumur 73 tahun maut apabila Proton Saga dipandu Muhammed Sharif hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Toyota Hilux.
Pemandu Toyota Hilux tersebut mengalami kecederaan di telinga kanan, manakala penumpang kenderaan tersebut iaitu seorang warga Sri Langka masing-masing patah kaki kiri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Besout 5 di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE