KEMAMAN – Seorang pengusaha kantin sebuah sekolah rendah di daerah ini, meninggal dunia dipercayai akibat tersedak makanan sewaktu bersarapan di kantin sekolah itu hari ini.
Mangsa, Mohd. Abdullah, 70, yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kemasik, di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 10.30 pagi.
Difahamkan, lelaki warga emas tersebut tersedak makanan ketika sedang menikmati sarapan pada pukul 9.50 pagi.
Ahli keluarga mangsa yang menyedari insiden tersebut bergegas menghubungi pasukan perubatan untuk bantuan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kijal berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, mangsa yang mempunyai sejarah penyakit asma dan tekanan darah tinggi.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO