LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) melihat keperluan untuk meneroka kecerdasan buatan (AI), analisis data masa nyata dan sistem pemantauan pintar bagi mempertingkatkan kecekapan pemantauan serta respons terhadap insiden di laut.
Ketua Pengarah Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada langkah reformasi operasi agensi yang semakin mencabar dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang lebih kompleks.
Katanya, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) menjadi medan penting untuk APMM mengenal pasti peluang kerjasama strategik serta teknologi yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi.
“APMM turut mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama baharu dengan rakan strategik, sama ada dari dalam mahupun di peringkat antarabangsa.
“Kita juga ingin memastikan aset, sistem dan keupayaan operasi kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran semasa serta pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa teknologi bukanlah pengganti kepada kecekapan manusia, namun ia perlu dilihat sebagai pelengkap dalam memperkasa operasi APMM secara menyeluruh.
“AI boleh bantu daripada segi membuat keputusan pantas, menjejak vesel nelayan asing (VNA) atau memberi amaran awal melalui pengesanan automatik.
“Ini semua akan membantu penguat kuasa APMM di lapangan untuk lebih proaktif,” ujarnya.
APMM juga dijangka mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup bersama rakan strategik dan agensi keselamatan antarabangsa sepanjang berlangsungnya LIMA’25 bagi memperhalusi potensi kerjasama jangka panjang. – KOSMO! ONLINE