fbpx
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain mendedahkan golongan remaja berusia 13 hingga 15 tahun dikenal pasti kumpulan paling ramai dilaporkan hilang.

Perempuan paling ramai lari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 122 kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah dilaporkan masih hilang dan menjadi tanda tanya meskipun kebanyakan kes orang hilang berjaya diselesaikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selangor, Johor dan Kedah men­jadi tiga negeri yang menca­tatkan jumlah kehilangan kanak-kanak dan remaja bawah umur tertinggi sejak 2023 sehingga Ja­nuari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, peningkatan ketara berhubung kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dilihat semakin membimbangkan.

Menurut beliau, sebanyak 1,063 kes kehilangan kanak-kanak direkodkan sepanjang tahun lalu meningkat sebanyak 36.5 peratus berbanding 779 kes pada tahun 2023.

Pada tahun ini pula, sebanyak 102 kes orang hilang dilaporkan pada Januari lalu.

“Daripada keseluruhan 1,944 kes yang dicatatkan sejak tahun 2023, seramai 1,822 individu bawah umur atau 93.7 peratus berjaya ditemui semula.

“Seramai 1,817 daripada mereka dijumpai berada dalam kea­daan selamat, namun lima mang­sa ditemukan telah meninggal dunia.

“Bakinya sebanyak 122 kes pula masih belum diketahui nasib mereka sehingga kini,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! dalam wawancara khas di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Mohd. Shuhaily memberitahu, golongan remaja berusia 13 hingga 15 tahun dikenal pasti kumpulan paling ramai dilaporkan hilang iaitu sebanyak 1,423 kes.

Mangsa perempuan mewakili sebanyak 73.2 peratus, manakala bakinya iaitu 521 kes atau 26.8 peratus adalah lelaki.

Jelas Mohd. Shuhaily, sebahagian besar kes orang hilang yang dilaporkan adalah kerana lari dari rumah iaitu sebanyak 1,420 kes atau 73 peratus daripada ke­seluruhan kes.

“Kebanyakan mereka keluar atas kehendak sendiri biasanya mengikut rakan atau kekasih. Faktor lain (punca) termasuk konflik keluarga dan keinginan untuk hidup bebas.

“Selain itu, antara sebab lain kehilangan mereka adalah me­larikan diri dari pusat kebajikan, asrama atau sekolah, tersesat di hutan atau sungai, menjadi mang­sa jenayah atau dilarikan penjaga,” katanya.

Tambah Mohd. Shuhaily, bagi 122 kes melibatkan kanak-kanak dan remaja yang masih belum ditemui, perkara tersebut masih menjadi misteri sekali gus me­nuntut perhatian serius serta tindakan bersepadu daripada semua pihak dalam mengesan keberadaan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN