fbpx

BKH ICD, Penang Port pacu perdagangan rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pegawai Eksekutif BKH ICD, Datuk Seri Michael Tio (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port, Datuk Sasedharan Vasudevan memegang dokumen perjanjian yang dimeterai baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bukit Kayu Hitam ICD Sdn. Bhd. (BKH ICD) dan Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu kemajuan serta membuka peluang baharu dalam rangkaian logistik serantau.

Ditandatangani pada 14 Mei lalu, MoU tersebut menggariskan komitmen antara BKH ICD, sebagai fasilitator perdagangan rentas sempadan dihormati di sempadan Malaysia-Thailand, dan Penang Port selaku pintu masuk pelabuhan utama di wilayah utara untuk bekerjasama secara berkesan.

Objektif utamanya adalah untuk memanfaatkan kekuatan dan kepakaran unik masing-masing yang telah terbukti melalui pengalaman operasi bagi mempertingkatkan aliran barangan, menyelaraskan proses, dan memberikan nilai tambah lebih besar kepada perniagaan merentasi Utara Semenanjung atau melaluinya.

Penang Port yang merupakan anggota MMC Group dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya bersama-sama BKH ICD berhasrat untuk mewujudkan rantaian nilai logistik yang lebih berintegrasi dan responsif dengan melalui kerjasama yang lebih erat.

Jelasnya, antara manfaat yang dijangkakan termasuk pengurangan masa transit, peningkatan kecekapan operasi, serta pembangunan penyelesaian inovatif yang mampu memenuhi keperluan komuniti perdagangan yang semakin berkembang.

“MoU ini mewujudkan asas untuk kerjasama masa hadapan dan penerokaan bersama, serta mencerminkan komitmen terhadap dialog terbuka dan perkongsian amalan terbaik.

“Ia menekankan visi bersama ke arah rangka kerja logistik yang lebih lancar dan saling berhubung di Utara Malaysia, yang akhirnya bakal merangsang pertumbuhan ekonomi rantau ini.

“Kedua dua organisasi akan terus mengekalkan kebebasan masing-masing serta keupayaan untuk menjalinkan kerjasama lain secara berasingan, yang menyumbang kepada persekitaran yang dinamik dan berdaya saing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI