ALOR GAJAH – Seorang kakitangan Petronas dan pekerja kilang maut dalam nahas membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 220.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, Mohammad Shahril Anuar, 45, kakitangan Petronas Sungai Udang dan pekerja kilang, Farith Aiman Mohd. Fairus, 21, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian Mohammad Shahril dan Farith masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha MT-25 dan Honda RS150R dalam perjalanan ke Melaka.
“Setiba di lokasi motosikal ditunggang Farith dipercayai terlanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori lalu melanggar motosikal ditunggang Mohammad Shahril di lorong kecemasan.
“Motosikal Mohammad Shahril pula melanggar sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang remaja lelaki berusia 18 tahun yang datang dari arah sama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ujarnya, impak pelanggaran menyebabkan dua mangsa maut, manakala penunggang Yamaha Y15ZR mengalami melecet pada bahagian kiri tangan dan kaki.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE