KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar lokasi persembunyian seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima wanita selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Syed Kuning, Ketereh di sini semalam.
Serbuan dijalankan kira-kira 11.30 pagi semasa Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, dua lelaki tempatan sedang berada di dalam dua buah kereta jenis Perodua Myvi di depan rumah itu semasa serbuan dijalankan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai seramai 11 orang lelaki Bangladesh dan 24 warga Myanmar termasuk lima wanita.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar tidak mempunyai cop sah pada pasport mereka untuk masuk ke negara ini.
“Seramai 23 PATI yang lain pula didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua PATI itu disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 57 tahun dipercayai berperanan sebagai tekong darat untuk menyeludup kesemua PATI ke negara ini.
“Ujian saringan air kencing mendapati, salah seorang daripada tekong itu positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Nik Ros Azhan berkata, kesemua PATI dan dua tekong darat itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala dua lelaki tempatan itu disiasat di bawah Seksyen 26 (J) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran. – KOSMO! ONLINE