fbpx

Skuad takraw bakal berdepan rombakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara hanya berjaya menjulang kejuaraan dalam acara regu dan kuadran pada aksi Piala Asia kali ini daripada empat kategori dipertandingkan.

KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais memberi bayangan akan melakukan rombakan ke atas skuad kebangsaan selepas tewas 0-2 kepada seteru utama dari Thailand di pentas final regu berpasukan Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, kelmarin.

Malaysia yang berhasrat untuk menamatkan kemarau 34 tahun dalam acara regu berpasukan tidak berhasil selepas dua regu negara gagal menandingi kehebatan regu Gajah Perang yang lebih kemas dan konsisten.

Ahmad Jais akur dengan kekalahan itu sekali gus mendedahkan terdapat kelemahan ketara dalam skuad negara, khususnya dari segi pertahanan, servis dan kestabilan ketika diasak bertubi-tubi oleh lawan.

Susulan kekalahan tersebut, Ahmad Jais berkata beliau kini sedang menilai beberapa pemain baharu untuk disenaraikan dalam Piala Raja Thai yang berlangsung pada Julai yang akan menjadi medan ujian terakhir sebelum menyusun skuad terbaik ke Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

“Saya terima kekalahan ini dengan hati terbuka. Pemain sudah berusaha, namun dari sudut taktikal dan mental, kita masih jauh ketinggalan. Kita perlu perbaiki banyak aspek terutama ketika berdepan pasukan kuat seperti Thailand.

“Kita sedang cari kombinasi paling serasi. Pemain yang tidak beraksi dalam Piala Asia kali ini mungkin akan diberi peluang. Ini penting kerana kita bukan sahaja mahu menang, tetapi mahu membentuk skuad yang mantap dan berdaya saing di pentas antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, antara aspek yang akan diberi perhatian dalam sesi latihan selepas ini termasuk servis, kawalan bola pertama, pertahanan serta kemampuan menyerap tekanan, yang dianggap sebagai kelemahan utama ketika berdepan trio Thailand.

Malaysia menutup tirai edisi sulung Piala Asia 2025 itu dengan positif apabila menepati ramalan mara ke final dalam empat acara iaitu regu, beregu (double), kuadran dan regu berpasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI