MELAKA – Seorang pengarah syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana gagal melaporkan suapan diterimanya berjumlah RM3,000 daripada seorang kontraktor projek, tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Azrul Rizad Othman, 47, sejurus pertuduhan pilihan kedua dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, tertuduh sebagai pemilik Mediaworks Design telah diberikan suapan wang tunai RM3,000 oleh seorang lelaki dan gagal melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis berhampiran.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe, Jalan Kota Fesyen 1, Mukim Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 18 September 2024.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang telah dilantik sebagai perunding bagi kerja membina sebuah rumah kediaman teres satu tingkat di Tanjung Minyak bernilai RM1.9 juta telah meminta rasuah wang tunai sebanyak RM3,000 untuk diri sendiri sebagai dorongan mengesyorkan sebuah syarikat kontraktor untuk melaksanakan kerja tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon tertuduh dikenakan denda setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam manakala wang tunai yang disita berjumlah RM3,000 dikembalikan kepada SPRM.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar serta membenarkan permohonan pendakwaan. – KOSMO! ONLINE