fbpx
Keratan muka depan Kosmo Sabtu lalu.

Siapa lagi jadi mangsa nahas lori?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tragedi kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu membuka mata ramai pihak.

Dalam kejadian itu, trak membawa 18 anggota yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai tugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan dirempuh sebuah lori membawa muatan batu.

Dua hari kemudian, seorang sarjan wanita dari Penjara Dusun Dato’ Murad, Melaka menjadi korban kemalangan melibatkan kenderaan berat.

Ketika kejadian, Allahyarham Amal Nurlidar Ghazali yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dirempuh dan digilis lori simen dari belakang ketika berhenti di lampu isyarat di Sungai Udang.

Dua tragedi menyayat hati yang menimpa anggota pasukan beruniform itu berlaku dalam tempoh 48 jam melibatkan lori sekali gus menarik perhatian ramai untuk mengupas nahas membabitkan kenderaan berat.

Nahas membabitkan treler dan lori bukan lagi kes terpencil. Ia kerap berlaku cuma lokasi dan angka korban berbeza. Perbincangan mengenainya juga dibuat secara bermusim kecuali banyak mangsa terkorban seperti yang berlaku di Teluk Intan baru-baru ini.

Jika dilihat, kali terakhir kemalangan dahsyat melibatkan kenderaan berat berlaku di Kluang, Johor yang meragut lima nyawa termasuk tiga beranak pada 27 Mac lalu. Nahas lori dan treler berpunca atas pelbagai faktor seperti kecuaian pemandu, masalah teknikal kenderaan dan keadaan jalan raya.

Sekiranya sesuatu kemalangan itu berlaku berpunca daripada masalah teknikal seperti kegagalan fungsi brek, kesalahan tersebut tidak sepatutnya diletakkan atas bahu pemandu semata-mata.

Bagaimana dengan pihak syarikat lori atau treler terlibat? Pihak syarikat juga harus diheret sekali ke mahkamah.

Ini kerana aspek penyelenggaraan kenderaan adalah di bawah tanggungjawab syarikat. Pihak syarikat perlu memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat ketika berada di atas jalan atau lebuh raya.

Siapa yang bertanggungjawab memantau dan mengawasi tahap penyelenggaraan kenderaan berat ini?

Nahas melibatkan trak FRU dan lori di Teluk Intan minggu lalu yang dipercayai berpunca daripada masalah stereng turut menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu pemandu dan syarikat dihukum sekiranya didapati bersalah.

Ini kerana disebabkan sikap lepas tangan mereka nyawa tidak berdosa menjadi korban.

Hanya kerana sikap pentingkan diri dan tamak, anak-anak kecil kehilangan insan bergelar bapa, isteri hilang tempat bergantung, ibu tua hiba atas kematian anak lebih-lebih lagi yang menjadi penanggung tunggal keluarga.

Orang ramai juga digesa melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kenderaan berat dipandu dalam keadaan berbahaya. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab bersama-sama mencegah daripada mudarat.

Nota kaki: Tidak salah empati kepada pemandu, tetapi biar berpada-pada, bukannya berlapang dada menganggap kejadian yang berlaku sebagai takdir sehingga membelakangkan undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN