KLANG – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuan bekas pendakwah selebriti, PU Azman untuk menjalani hukuman serentak selama 12 tahun berbanding 24 tahun atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki.
Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim memutuskan demikian selepas meneliti segala hujahan termasuk bertulis yang dikemukakan pihak perayu dan pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua sebatan yang dikenakan terhadap PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 44.
“Berkenaan hukuman masing-masing 12 tahun bagi dua pertuduhan (amang seksual fizikal). Saya dapati asalkan kes ini berjalan serentak dan melibatkan saksi serta kejadian sama dan sebagainya, oleh demikian saya dapati hukuman perlu dijalankan serentak.
“Jadi, saya benarkan hukuman berjalan serentak selama 12 tahun dan dua (hukuman) sebatan dikekalkan,” katanya dalam penghakimannya hari ini.
Mengikut pertuduhan, PU Azman didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa berusia 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini pada pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi, 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, PU Azman yang diwakili Peguam Fahmi Adilah menyatakan Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijalankan berasingan menjadikan jumlahnya 24 tahun.
“Jadi, saya mohon satu hukuman serentak atas alasan perbicaraan itu diletakkan satu nombor kes namun dipecahkan kepada dua pertuduhan melibatkan mangsa dan saksi sama namun dua kejadian berbeza.
“Jadi, saya percaya tiada sebarang perlengahan atau mengambil masa panjang untuk perbicaraan dan pertuduhan sama.
“Saya percaya kalau melihat Seksyen 102 Akta Mahkamah Rendah yang menyatakan agregat hukuman tersebut tidak boleh dihukum lebih 20 tahun. Justeru, mengambil kira faktor itu bahawa melakukan kekhilafan undang-undang di situ mewajarkan mahkamah ini untuk masuk campur mengubah satu dapatan yang baharu,” katanya.
PU Azman turut diwakili Peguam Mohamad Zahid Ahmad.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Tengku Najiha Tingku Zahari menegaskan, dapatan Mahkamah Sesyen adalah tepat dan tidak melampau.
“Ini kerana tiada ‘continuity of action’ atau design yang sama hanya kerana saksi dipanggil sama dan perbicaraan bersama tidak mewajarkan satu hukuman berbentuk serentak.
“Dalam kes ini, mengambil kira kedudukan tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah dan umur mangsa semasa kejadian serta hubungan mereka berdua. Jadi, kepentingan awam melebihi kepentingan individu itu sendiri.
“Masyarakat menanti dan melihat perkembangan kes-kes sebegini. Jadi, saya percaya itu sewajarnya diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
“Berkaitan kesan penjara 24 tahun kepada perayu dan akan keluar pada umur 60 atau 70 tahun bukan satu ukuran. Apa yang penting adalah trauma kepada pengadu itu berbanding impak pemejaraan kepada perayu itu,” katanya.
Kosmo pada 27 September tahun lalu melaporkan, Hakim Mahkamah Sesyen Noridah Adam menjatuhkan masing-masing 12 tahun dan satu sebatan terhadap PU Azman yang berjalan berasingan terhadap dua pertuduhan amang seksual dihadapinya.
Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman dan tertuduh dihantar ke Penjara Kajang serta-merta. – KOSMO! ONLINE