LONDON – Seorang pendaki Britain memecah rekod apabila mendaki Gunung Everest untuk kali ke-19, lapor akhbar Metro UK semalam.
Kenton Cool, 51, tiba di puncak setinggi 8,848 meter itu untuk kali ke-19 pagi semalam, rekod terbaik dicapai oleh pendaki bukan sherpa.
Sherpa merupakan suku kaum yang tinggal di Banjaran Himalaya dekat sempadan Nepal dan Tibet serta sangat mahir mendaki gunung.
Lelaki dari Gloucestershire, England itu mula mendaki puncak tertinggi di dunia pada 2004 dan sejak itu, dia mengulangi aktiviti tersebut hampir setiap tahun.
Meskipun pernah cedera, Cool telah mendaki Gunung Everest dengan ketinggian keseluruhan 167,944 meter.
Pasukannya memberitahu Metro UK bahawa Cool menuruni gunung itu semalam, dan dijadualkan tiba di Base Camp hari ini.
“Ramalan cuaca kelihatan baik. Saya berharap semuanya berjalan lancar walaupun saya agak bimbang dengan keadaan laluan pendakian,” katanya beberapa hari lalu di laman Instagram. – AGENSI