PORT DICKSON – Seramai 1,319 Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 202/2024 menjadi kumpulan pertama menikmati kenaikan gaji lapan peratus melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan sejak Disember tahun lalu.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, selepas sahaja tamat latihan hari ini, kumpulan anggota tersebut akan menikmati gaji permulaan antara RM1,710 hingga RM1,930 mengikut taraf akademik masing-masing.
Menurutnya, perajurit muda yang mempunyai kelulusan seperti diploma dan ijazah juga akan menjalani proses pembangunan kerjaya mengikut kelayakan supaya dapat memenuhi jawatan atau pengkhususan yang diperlukan dalam perkhidmatan.
“Dalam siri kali ini, seramai dua perajurit muda berkelulusan ijazah, manakala, 53 perajurit muda berkelulusan diploma dan lain-lain. Selebihnya iaitu 1,134 pula berkelulusan SPM,” katanya selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 202/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE