KUALA LUMPUR – Polis belum menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan Datin Seri Pamela Ling Yueh sama ada masih berada dalam negara atau dibawa keluar setelah dilaporkan hilang sejak 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan keluar negara tanpa laluan sah melibatkan wanita berkenaan.
“Kita telah menyemak beberapa pergerakan keluar negara dan tidak mendapati sebarang kesan yang menunjukkan Pamela melarikan diri.
“Oleh itu, tidak dapat dipastikan sama ada beliau masih berada dalam negara atau telah dibawa keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat di Dewan Serbaguna Desa Rejang, di sini hari ini.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut meskipun sehingga kini wanita terbabit masih gagal dikesan.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan SPRM, Putrajaya sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.
Ketika kejadian, beliau yang menggunakan perkhidmatan e-hailing dipercayai dipintas oleh tiga kenderaan sebelum dibawa pergi individu tidak dikenali.
Pada 13 Mei lalu, polis dilaporkan sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kemungkinan Pamela melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan dokumen individu lain. – KOSMO! ONLINE