BANDAR RAYA NEW YORK – Dua orang maut, manakala 17 lagi cedera selepas sebuah kapal latihan Tentera Laut Mexico merempuh Jambatan Brooklyn, demikian menurut Datuk Bandar New York, Eric Adams awal hari ini.
“Awal malam ini (semalam), kapal Tentera Laut Mexico, Cuauhtemoc kehilangan kuasa dan melanggar Jambatan Brooklyn,” kata Adams di X platform X.
“Pada masa ini, daripada 277 penumpang, 19 mengalami kecederaan, dua daripadanya dalam keadaan kritikal dan 2 lagi meninggal dunia akibat kecederaan dialami,” tambah beliau.
Akhbar The Guardian melaporkan, kapal tersebut terlibat dalam jelajah promosi di Bandar Raya New York, apabila bahagian atas tiangnya terkena jambatan ikonik tersebut ketika ia belayar melalui Sungai Timur.
Dalam video kejadian yang dirakam oleh beberapa saksi, tiga tiang kapal itu dilihat patah dan sebahagiannya runtuh ketika ia terhempas ke dek jambatan.
Kapal itu yang mengibarkan bendera Mexico gergasi, kemudian hanyut ke tepi sungai ketika orang ramai bergegas meninggalkan kawasan tersebut.
Tentera laut Mexico berkata dalam satu hantaran di X bahawa Cuauhtemoc rosak dalam insiden tersebut yang menghalangnya daripada meneruskan pelayaran.
Ia menambah, status kakitangan dan kapal itu sedang dalam semakan oleh tentera laut dan pihak berkuasa tempatan yang memberikan bantuan.
Jambatan Brooklyn yang dibuka pada tahun 1883, mempunyai jarak utama hampir 490 meter yang disokong oleh dua menara batu.
Dianggarkan lebih 100,000 kenderaan dan 32,000 pejalan kaki melintasnya setiap hari, demikian menurut jabatan pengangkutan bandar tersebut.
Laluan pejalan kakinya merupakan tarikan utama pelancong di Bandar Raya New York. – AFP/AGENSI