SUPERMODEL dan pelakon terkenal antarabangsa, Cara Delevingne hadir ke Malaysia selama seminggu untuk menyertai kempen selamatkan harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan.
Menerusi hantaran dalam Instagram, bintang filem Suicide Squad itu berkongsi momennya sewaktu berada di Malaysia.
“Dengan hanya 150 ekor harimau Malaya liar di dalam hutan Malaysia, kita mesti melakukan segala yang kita mampu untuk memulihkan dan memulihara populasi yang semakin berkurangan.
“Pemburu haram kini menjadi pemangsa paling utama di hutan ini, hutan yang berusia 130 juta tahun.
“Kita mesti menyebarkan kesedaran tentang perkara ini dan jangan biarkan harimau Malaya hilang selama-lamanya. Harimau liar boleh bangkit semula, jika kita tidak mengganggu mereka,” tulisnya pada bahagian kapsyen.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ramai netizen Malaysia mengucapkan selamat datang kepada Delevingne.
“Selamat datang ke Malaysia. Terima kasih kerana menyebabkan kesedaran tentang menyelamatkan Harimau Malaya. Datanglah ke Kuching, Sarawak pula. Di sini ada Orang Utan,” komen netizen.
Ada juga netizen yang meminta model berkening lebat itu untuk melawati beberapa negeri lain di Malaysia seperti Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang.
Selain Delevingne, aktres Jaime Winstone dilihat turut sama menyertai kempen itu. Mereka telah melawat ke Taman Negara serta mengembara menaiki kereta api Eastern Oriental Express. – KOSMO! ONLINE