fbpx
Muhammad Mirzan dan Aimi Nasruddin minat mengumpul jam tangan berjenama.

Lelaki minat kumpul jam tangan ‘branded’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEUTAS jam tangan jenama Tissot hadiah daripada bapa usai tamat sekolah merupakan pendedahan awal buat pemuda itu tentang dunia aksesori tersebut.

Sejak itu, dia mengenakan jam berkenaan sebagai pelengkap gaya sehinggalah pada suatu hari dia kehilangannya selepas tertinggal di dalam tandas semasa menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

Ralat atas kejadian itu, dia mula membeli dan mengumpulkan jam tangan sendiri yang sehingga kini menjadi salah satu aksesori wajib dalam setiap penampilannya.

Menurut seorang peguam, Aimi Nasruddin Mohd. Roslan, 34, antara sebab dia mengumpul koleksi jam tangan adalah minat terhadap aksesori yang menjadi pelengkap gaya selain suka membeli-belah.

“Jam tangan adalah aksesori wajib dalam penampilan saya selain beg. Memang sejak dulu saya melihat ayah mempunyai koleksi jam sendiri dan itu sedikit sebanyak mempengaruhi saya.

“Minat saya mengumpul jam ini lebih kepada estetik, kerana saya memilih jam tangan mengikut rekaan dan gaya yang sesuai dengan imej penampilan sama ada harian atau untuk majlis,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, dia kini memiliki kira-kira 37 koleksi jam tangan yang terdiri daripada pelbagai jenama dan salah satu yang menjadi kegemarannya adalah Daniel Wellington.

Kongsinya lagi, dia menggemari jam jenama itu kerana mempunyai rekaan sangat minimalis dan sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis gaya pemakaian.

Selain jam Daniel Wellington, pemuda asal Batu Pahat, Johor itu juga mempunyai koleksi jam vintaj yang juga menjadi aksesori kesukaannya.

Antara jam tangan koleksi Aimi.

Jam tangan model Titus keluaran tahun 1968 dan juga Alba (1980-an) mempunyai nilai estetik tersendiri dan rekaannya juga tidak ditelan zaman.

“Kedua-dua jam ini saya beli dari sebuah kedai jam di Batu Pahat dan premis ini juga sering dikunjungi ayah kerana ada pelbagai jenis jam termasuk jam vintaj yang dibaiki semula.

“Saya memang tertarik dengan jam Titus tersebut sejak ditawarkan oleh peniaga. Harganya tidak begitu mahal tetapi mempunyai estetik yang kena dengan penampilan saya dan rekaannya sangat klasik,” ujarnya yang mempunyai koleksi jam dari harga sekitar RM500 hingga RM3,500.

Katanya lagi, daripada semua koleksi jam yang dimiliki, Aimi juga memasang impian untuk memiliki jam idamannya iaitu model Cartier Tank dan Rolex Day-Date 40.

Sebagai peminat jam dia tidak melihat hobi itu sebagai pembaziran kerana lebih kepada satu bentuk kepuasan diri.

Malah, untuk sesetengah pihak, mengumpul jam juga salah satu bentuk pelaburan jangka panjang kerana terdapat beberapa jenis jam daripada beberapa jenama terutama model terhad yang harganya boleh meningkat berlipat kali ganda.

Perspektif itu turut diakui seorang lagi pencinta jam, Aidil Azman, 45, yang mengumpul jam tangan berjenama mewah sejak sepuluh tahun lalu.

Menurutnya yang merupakan seorang ahli perniagaan, dia merupakan peminat jam jenama Rolex dan memiliki lebih 20 model termasuk edisi terhad.

“Saya memang dari dahulu sukakan jam Rolex dan semua sedia maklum jam ini mempunyai nilai yang tinggi terutama untuk model yang rare.

“Minat saya mengumpul jam ini bermula selepas saya terpengaruh seorang rakan yang juga pengumpul jam dan pada masa sama dapat keuntungan tiga kali ganda selepas menjual jam edisi terhad miliknya,” kongsinya.

Ujar Aidil lagi, meskipun melihat ia sebagai satu pelaburan, dia tidak menafikan bahawa dia turut meminati jam kerana merupakan simbol kemewahan buat si pemakai.

Setiap jam juga mempunyai lambang personaliti buat setiap individu dan pada masa sama memberi tanggapan pertama buat si pemakai.

Hal ini secara am dapat dilihat pada setiap ahli perniagaan terkenal, rata-rata mereka memakai jam tangan jenama-jenama mewah yang melambangkan status serta kekayaan mereka.

“Jam ini adalah identiti, bagi setiap orang yang mengumpul jam, mereka memilih sesuatu jam itu bukan sekadar minat pada rekaan, tetapi kisah di sebaliknya juga.

“Setiap jenama ada kelebihan dan peminat tersendiri dan bagi saya Rolex merupakan antara jenama paling diminati semua pencinta jam,” katanya.

Menurut pengumpul jam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif jenama butik barangan mewah pre-loved, Icon Luxe, Muhammad Mirzan Johor, jam juga boleh disifatkan lambang status kekayaan seorang lelaki.

“Jam aksesori orang kaya dan biasanya untuk mengetahui seorang lelaki itu kaya atau tidak, lihat pada jamnya,” katanya.

Dalam industri penjualan jam, terdapat beberapa pecahan pembeli dan pengumpul yang meminati jam atas sebab-sebab tersendiri.

Muhammad Mirzan berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ada kategori pengumpul yang sukakan jam klasik, moden, vintaj dan juga pencari model-model edisi terhad.

Jelasnya, dunia penjualan jam juga mempunyai percaturan dan permainan mereka sendiri iaitu semua jenama mewah mempunyai kategori penghasilan jam daripada kelas pertengahan dan atasan.

“Orang awam biasa melihat jam tangan mewah di kedai dan berfikir itu adalah jam yang paling mahal tetapi hakikatnya ada kategori jam yang dihasilkan terhad dan hanya ditawarkan oleh jenama mewah pada pembeli tertentu sahaja.

“Setiap jam yang dijual itu mempunyai nilai daripada puluhan ribu ke ratusan ribu ringgit, malah jika harga pasaran jam naik, ia boleh mencecah sehingga jutaan ringgit,” ujarnya yang juga mempunyai sejumlah koleksi jam tangan mewah.

Tambahnya, modus penjualan ini yang menjadikan beberapa jenis jam mempunyai naik turun harga tersendiri yang bergantung harga pasaran dunia.

Kongsinya lagi, di Malaysia, terdapat ramai individu yang mengumpul jam dan rata-rata mereka tidak berkira soal harga, asalkan jam idaman dimiliki.

Terdapat juga beberapa jenama jam yang paling dicari di negara ini dalam kalangan pencinta jam iaitu Rolex, Patek Philippe, Audemars Piguet, Hublot, Richard Mille dan Cartier.

“Berdasarkan pemerhatian kami, jenama Rolex, Patek Philippe dan Audemars Piguet adalah tiga jenama yang paling diminati oleh pencinta jam di Malaysia kerana bukan sahaja dikenali tetapi setiap modelnya dihasilkan hanya pada jumlah tertentu.

“Ketiga-tiganya juga jenama yang mengkhusus pembuatan jam dan kerana itu pencinta jam amat menghargai setiap rekaan modelnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN