KUALA LUMPUR – Liga di rantau Asia termasuk Liga Malaysia (Liga M) memerlukan lebih banyak pasukan berkualiti untuk mewujudkan pertandingan yang lebih kompetitif sekaligus mampu meningkatkan lagi kualiti permainan pada masa akan datang.
Legenda Manchester United, Ryan Giggs, berkata elemen kompetitif adalah perkara terpenting dan mana-mana liga tidak boleh terlalu didominasi oleh pasukan tertentu sahaja.
“Kamu lihat sekarang kualiti Liga Perdana Inggeris cukup tinggi, terdapat banyak pasukan mampu beri saingan dimana pasukan bawahan juga boleh kalahkan sesiapa saja. Jadi apa yang kamu perlukan dalam liga domestik adalah kompetitif.
“Gabungan pemain asing dan pemain tempatan juga agak membantu. Kita boleh belajar daripada pemain import, mereka juga boleh mempelajari sesuatu daripada pemain tempatan,” katanya pada sidang media sempena perlawanan Manchester United dan ASEAN All-Star, hari ini.
Pertembungan Manchester United dan ASEAN All-Star akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 28 Mei ini dengan Giggs turut menyifatkan ia sebagai aksi yang menarik terutama buat peminat The Red Devils.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam menganggap kehadiran Giggs menyunntik semangat luar biasa kepada arena bola sepak rantau Asia Tenggara.
“Kehadirannya bukan sahaja membangkit keterujaan dalam kalangan peminat, malah memperhebatkan lagi sambutan terhadap kembalinya Manchester United ke bumi Malaysia selepas 16 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE