fbpx

Tak sampai seminit habis tempoh parkir, kena saman PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Resit parking dan saman diterima seorang wanita selepas meletakkan kenderaan di satu kawasan di daerah Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Seorang wanita kesal apabila disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya dalam tempoh 59 saat sebelum sempat dia menambah bayaran bagi memanjangkan tempoh parkir kenderaan.

Menerusi hantaran Thread Fitriyah Yunus, wanita itu berkongsi bayaran resit parkir untuk tempoh satu jam dan saman yang diterimanya kurang satu minit di kawasan Petaling Jaya.

“Saman dalam 59 saat, tak sempat pun nak tekan butang ‘extend’ (panjangkan tempoh parkir). Saya faham undang-undang itu penting. Tapi undang-undang juga perlukan kemanusiaan untuk dilaksanakan dengan adil.

“Adakah ini suatu yang efisien atau kurangnya empati? Bukan nak lari daripada bayar. Saya cuma minta ruang untuk jadi manusia yang kadang-kadang lambat satu minit,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Pada resit tersebut memaparkan, wanita itu membayar parkir dari pukul 8.48 hingga 9.48 pagi sebanyak RM1.20.

Saman berjumlah RM100 yang diterima pula pada pukul 9.49 pagi.

Menjawab pertanyaan orang ramai, wanita itu mendakwa dia cuba merayu bagi pengurangan saman tersebut.

“Semestinya ada, rayu secara baik, namun balasan daripada pegawai tidak membantu,” katanya.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas selain ada pengguna yang turut berkongsi pengalaman sama melibatkan PBT berbeza.

“Saya pernah kena di Shah Alam. Saya pergi MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) buat rayuan sebab ada tiga kes. Cuba bincang dan minta budi bicara sebab kita bukan tak bayar, terlepas satu minit saja,” komen pengguna Thread amarizqy.

“Pernah kena tapi MPKj (Majlis Perbandaran Kajang). Telefon dan ‘check’, saman itu mereka batalkan,” kata Firdaus Othaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI