HANOI – Kedudukan durian Musang King dari Malaysia meningkat 12 anak tangga untuk menduduki tempat ketujuh dalam senarai 26 buah-buahan terbaik di rantau Asia Tenggara, lapor portal berita VNExpress semalam.
Kedudukan itu diperoleh berdasarkan undian pembaca majalah makanan antarabangsa, TasteAtlas.
Majalah itu menyifatkan Musang King, juga dikenali sebagai Mao Shan Wang, sebagai salah satu varieti durian terbaik, sangat dicari kerana teksturnya yang berkrim dan isinya tebal.
Terkenal dengan gabungan rasa pahit dan manis yang unik, Musang King ialah varieti durian paling popular di Malaysia.
Buahnya berwarna kuning terang dan lazimnya dituai semasa musim monsun barat daya di Malaysia dengan kemuncak dari Jun hingga Ogos setiap tahun.
Manggis mendahului senarai TasteAtlas, diikuti Pisang Raja Indonesia yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.
Menurut TasteAtlas, penarafan makanan itu adalah berdasarkan penilaian pembaca. – AGENSI