WASHINGTON – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mendahului senarai majalah perniagaan Forbes sebagai ahli sukan yang memperoleh pendapatan tertinggi untuk tahun ketiga berturut-turut, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Anggaran pendapatan Ronaldo, 40, meningkat sebanyak AS$15 juta (RM64 juta) kepada AS$275 juta (RM1.1 bilion) untuk tahun ini, lapor Forbes.
Menurut majalah itu, bintang Persatuan Bola Keranjang (NBA) di Amerika Syarikat (AS), Stephen Curry menduduki tempat kedua dengan anggaran pendapatan AS$156 juta (RM666 juta).
Namun, sebelum ini, bekas petinju yang pernah menjadi juara dunia, Floyd Mayweather dari AS memperoleh pendapatan AS$300 juta (RM1.2 bilion) pada 2015 sekali gus mengatasi Ronaldo.
Ronaldo, berpindah ke Liga Profesional Arab Saudi apabila dia bermain untuk kelab bola sepak Al Nassr pada Disember 2022.
Perpindahan itu menyebabkan dia memperoleh pendapatan lebih besar melalui tawaran penajaannya.
Petinju Britain, Tyson Fury naik ke tempat ketiga dengan anggaran pendapatan AS$146 juta (RM623 juta) walaupun kehilangan gelaran heavyweight dunianya kepada Oleksandr Usyk dari Ukraine pada Disember tahun lalu. – AGENSI