KUALA LUMPUR – Program Bangkit Usahawan Umrah siri ke-2 anjuran Syarikat Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) merekodkan kehadiran seramai 223 peserta.
Program dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) itu turut dihadiri pelbagai agensi pelancongan dan syarikat penerbangan.
Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, topik yang diketengahkan pada siri kedua ini memfokuskan kepada ejen pelancongan yang mempunyai ramai pengikut, tetapi tidak menjadi pelanggan
“Dengan adanya kursus ini, pengikut sekarang ini akan bertukar menjadi pelanggan.
“Saya berharap para peserta hari ini dapat ilmu yang diperoleh dan dipelajari dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya di Majlis Penutup Program Bangkit Usahawan Umrah siri ke-2, hari ini.
Tambah beliau, kolaborasi rakan strategik amat penting bagi memastikan matlamat penganjurannya tercapai.
“Kita juga mahu rangkaian ini bukan sahaja diperluaskan menerusi industri umrah sahaja, malah bagaimana kita boleh memperkasakan syarikat bumiputera dengan kolaborasi pelbagai pihak.
“Ia meliputi para rakan strategik, pengusaha hotel, syarikat penerbangan, penyedia makanan, penyedia inap desa dan sebagainya,” katanya ketika sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, Program Bangkit Usahawan Umrah adalah inisiatif untuk melahirkan lebih ramal usahawan muslim dalam industri umrah dan pelancongan Islam.
“Program ini menyediakan latihan, bimbingan dan platform perniagaan kepada peserta untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan umrah secara sah dan berlesen. Membuka peluang keusahawanan dalam sektor umrah dan pelancongan Islam.
“Ia menyediakan latihan intensif dalam bidang pemasaran, syariah dan pengurusan umrah selain mmbantu peserta membina bisnes berlesen dengan bimbingan profesional,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE