JIKA hendak difikirkan ini memang kerja gila dengan trip pergi balik dari Kuala Lumpur (KL) ke Labuan dalam masa singkat. Malam sampai, esok turun memancing dan lusa tengah hari sudah sampai semula ke KL.
Ini semua kerana kami sudah kemaruk dengan popping GT.
Pagi itu, selepas sarapan, kami terus menaiki bot Blue Shark Fishing yang dikemudi oleh Kapten Khairolnizam Daud yang sedia menunggu di Pantai Batu Manikar.
Seronok popping GT di Labuan ini adalah lokasi popping yang berdekatan iaitu satu jam sahaja dari pantai sudah sampai. Kawasan popping di sini berupa gugusan batu karang yang luas.
Pagi itu, seusai tiba di lokasi pertama, tekong menyarankan untuk menggunakan gewang stickbait sahaja. Ini kerana, ikan kurang aktif atas faktor air baru sahaja pasang dan arus belum betul-betul kuat.
Benar seperti apa yang dikatakan, kami dapat melihat beberapa kali gewang dikejar GT, tetapi tidak terus dihentam, sebaliknya ia seolah mengusir sahaja stickbait yang kami mainkan.
Menurut kapten, dalam pukul 11 pagi barulah sesuai untuk memainkan gewang popper kerana ketika itu arus air sudah menujah kuat. Ini bakal membuatkan kumpulan ikan-ikan kecil berkumpul untuk berlindung di sebalik karang dan masa itulah nafsu makan ikan GT akan memuncak.

Sememangnya dia seorang kapten yang arif dan berpengalaman kerana tidak beberapa lama kemudian, Haziq yang menggunakan popper Celorot daripada Ina Concept dihentam GT.
Pertarungan dengan GT sememangnya amat mendebarkan kerana henjutan-henjutan pendeknya yang padu.
Namun, ia dapat ditangani dan didaratkan. Ia merupakan GT pertama Haziq dengan berat dalam lingkungan 20 kilogram.
Bot rosak
Malangnya, hari tidak selalunya cerah, selesai mengambil gambar dan melepaskan semula GT tersebut, kami naik semula untuk mengulangi lokasi yang sama.
Melepasi zon berpotensi tanpa strike dan ingin mencuba buat kali ketiga, tiba-tiba enjin bot tidak dapat dihidupkan.
Kapten berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah, namun hampa. Tidak ada langsung tanda-tanda positif isu kerosakan dapat dipulihkan. Talian telefon tidak ada dan senapang suar (flare gun) ditembak, malangnya tiada respons daripada bot-bot berhampiran.
Kapten masih bertenang dan mengibarkan baju hujan yang berwarna terang untuk menarik perhatian bot-bot yang lalu-lalang. Bot berhanyut sehinggalah tiba di laluan yang biasanya dilalui bot-bot lain dan sauh dijangkar.
Alhamdulillah, akhirnya isyarat kecemasan itu disedari oleh sahabat kapten yang turut membawa pelanggan memancing.
Masalah dapat diselesaikan dan kami kembali memancing semula.
Tiada apa-apa tangkapan lain sepanjang masa tersebut dan kami bergerak kembali ke pantai pada pukul 5 petang.
Adakah kami serik dengan peristiwa itu? Tidak sama sekali kerana ledakan GT menghentam popper akan sentiasa diingati, kami pasti akan kembali lagi.














