KUALA LUMPUR – Polis masih mengesan suspek terlibat berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat berhampiran Restoran Kawanku Tomyam di Jalan Klang Lama, di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan sedang dijalankan dan mayat bayi tersebut telah diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut.
“Suspek belum dikenali pasti dan pihak polis sedang menyiasat perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Mohamed Usuf berkata, siasatan awal mendapati, bayi pra matang berusia tujuh bulan itu disyaki dibuang di kawasan berhampiran.
“Bayi itu dipercayai sudah tidak bernyawa sekurang-kurangnya 48 jam ketika ditemui di lokasi kejadian.
“Pihak forensik setakat ini belum dapat memastikan punca kematian bayi pra matang tersebut sama ada dia mati sebelum dibuang atau lemas,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui berhampiran dengan Restoran Kawanku Tomyam di Jalan Klang Lama, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfirelds, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 2.05 petang.
Menurutnya, polis turut melakukan pemeriksaan ke atas hospital dan klinik kesihatan swasta bagi bagi mengesan rekod wanita yang baru melahirkan anak dan mencurigakan. -KOSMO! ONLINE