KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terlanggar sekumpulan gajah melintas dalam kejadian di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 9.20 malam itu, pasangan berkenaan berusia 40 dan 38 tahun itu menaiki sebuah Perodua Alza dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mersing.
“Setiba di lokasi kemalangan tiba-tiba lebih kurang empat ekor gajah melintas dan mangsa tidak dapat mengelak menyebabkan bahagian hadapan kenderaan mangsa remuk, namun kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas kejadian, gajah-gajah berkenaan dilihat masuk semula ke kawasan hutan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, mangsa juga telah membuat laporan polis bagi tujuan tuntutan insurans.
Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan insiden sebuah kenderaan melanggar gajah liar di lokasi kejadian dimana turut kedengaran bunyi kuat haiwan berkenaan yang dipercayai cedera.
Difahamkan, kemalangan berlaku di laluan gelap dan bukanlah insiden pertama melibatkan kenderaan serta gajah di kawasan berkenaan yang menjadi laluan haiwan liar itu melintas. – KOSMO! ONLINE