fbpx
SEMAKIN ramai pengguna jalan raya melanggar lampu isyarat merah demi kepentingan diri sendiri.

Abai lampu isyarat merah maut menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lepas seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Persiaran Senawang 1, Matahari Height, Seremban, Negeri Sembilan.

Nahas itu berlaku hampir sebulan selepas dua remaja maut dirempuh kereta Honda Jazz yang gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah kiri di lokasi sama pada 6 Mac lalu.

Ada juga kes kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dilanggar tiga buah motosikal yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Kampung Raja Uda, Klang, Selangor pada 20 April lalu.

Ini antara banyak kes berlaku di negara ini setiap hari yang meragut nyawa, sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kita amalkan sikap bersabar dan tidak memandu secara semberono semata-mata ingin cepat sampai ke tempat dituju.

Percayalah tempat yang mahu tuju tidak akan lari ke mana dan ‘sabar’ menanti kehadiran kita. Jadi, tidak perlulah kita tergesa-gesa seolah-olah tiada lagi hari esok yang menanti kepulangan kita.

Sesungguhnya, melanggar lampu isyarat merah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan kemalangan maut, terutama di kawasan persimpangan utama.

Situasi sebegini amat mengecewakan kerana punca kemalangan yang berulang adalah tetap sama, iaitu sikap mementingkan diri sendiri, selain cuai ketika memandu.

Kalaulah kita boleh bersabar sedikit pasti kemalangan maut seperti ini dapat dielakkan kerana boleh berlaku dalam sekelip mata jika tidak berhenti bagi memberi laluan kepada kenderaan lain di lampu isyarat.

Bagi menunjukkan betapa seriusnya kes pelanggaran lampu isyarat merah, dalam tempoh hanya 11 bulan iaitu dari Januari hingga November 2024, sejumlah 95,298 saman melanggar lampu merah dikeluarkan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dipetik sebagai berkata, pemandu kereta mencatat jumlah saman tertinggi iaitu sebanyak 44,889 kes, diikuti penunggang motosikal dengan 39,468 saman.

Katanya, pemandu lori pula merekodkan 3,937 saman, manakala kenderaan lain mencatat 7,004 saman.

Data yang diberikan oleh pihak polis ini membuktikan masih ramai rakyat negara ini yang mengambil mudah akan hal ini dan seolah-olah percaya melanggar lampu isyarat merah tidak mendatangkan kemudaratan kepada mereka asalkan hati mereka puas.

Percayalah setiap kemalangan maut yang berlaku di sebabkan perkara ini, ada hati yang menangis dan terluka dalam kehibaan, ada anak-anak yang jadi yatim piatu disebabkan ibu atau bapa pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Oleh itu, renungkanlah sejenak kerana kesabaran menanti walaupun untuk tempoh beberapa saat boleh menyelamatkan nyawa insan tersayang.

Kepada pemandu kereta atau penunggang motosikal sentiasa berhati-hati dan berwaspada selain mematuhi undang-undang bagi mengelak kejadian sama berulang.

Juga langkah penguatkuasaan daripada pihak berwajib perlu diperhebat melalui pemantauan di lokasi-lokasi strategik yang dikenal pasti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN