MISI menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan menentang seteru Asia Tenggara, Vietnam pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 nanti menjadi keutamaan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Menurut Cklamovski, revolusi skuad kebangsaan ketika ini bukanlah jaminan buat pasukan untuk melakar kemenangan ke atas skuad Naga Emas itu yang kali terakhir dilakukan pada 2014.
Katanya, sejarah tersebut juga mampu memberikan motivasi terbaik buat barisan pemain menjelang perlawanan getir kelayakan Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.
“Kita tak pernah tewaskan Vietnam selama sedekad dan sudah tentu ia beri motivasi buat pasukan.
“Ramai ingat kita boleh menang, tetapi kita perlu kekal realistik dan merendah diri. Dalam 16 aksi terakhir, kita hanya menang dua kali ke atas mereka.
“Sekarang cabaran buat pasukan untuk mengubah sejarah,” katanya dipetik menerusi rancangan Bola itu Life.
Kali terakhir skuad negara menang ke atas Vietnam ketika aksi separuh akhir Piala ASEAN 2014 yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Dollah Salleh dengan keputusan 4-2.
Namun, lapan aksi kompetitif berikutnya berakhir dengan tujuh kekalahan dan satu keputusan seri ke atas Vietnam yang menduduki ranking ke-109 dunia ketika ini.
Cklamovski dilihat berpotensi membantu Harimau Malaya meraih keputusan positif ke atas Vietnam sekali gus menamatkan badi yang sebelum ini gagal dihapuskan oleh bekas jurulatih-jurulatih kebangsaan seperti Datuk Ong Kim Swee, Tan Cheng Hoe dan Kim Pang-gon.
Ini disebabkan persiapan rapi yang bakal dilakukan oleh barisan kejurulatihan yang dijangka memanggil kem latihan pusat seawal minggu depan selain mengatur dua aksi pemanas badan bertemu ranking ke-72 dunia, Cape Verde.