SEGAMAT – Kegiatan jijik dan licik seorang pemuda disyaki mengintai dan merakam seorang wanita di dalam tandas di sebuah restoran di Bandar Putra di sini akhirnya berakhir apabila ditahan, 9 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, suspek warga tempatan berusia 20-an itu didakwa menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam mangsa yang sedang membuang air kecil di dalam tandas berkenaan kira-kira pukul 10.38 malam pada 4 Mei lalu.
“Ketika membuang air kecil, mangsa dikatakan menyedari terdapat pergerakan mencurigakan sekitar tandas terbabit sebelum mengesan ada telefon sedang membuat rakaman terhadapnya.
“Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan dia mengesyaki seseorang telah melakukan rakaman itu.
“Setelah itu, mangsa membuat laporan polis beberapa minit selepas kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan suspek berjaya ditahan polis pada 9 Mei di sekitar Segamat,”katanya dalam satu sidang media di IPD Segamat hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, di dalam telefon bimbit suspek terdapat kira-kira 16,000 gambar wanita yang dirakam dan dimuat turun oleh suspek beserta dua video rakaman wanita di tandas.
Pihak polis telah membuka kertas siasatan hasil penahanan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 377d/292 Kanun Keseksaan.
Pihak polis sekaligus menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kes seumpama itu dan membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah kepada polis untuk tindakan segera.-KOSMO! ONLINE