KOTA BHARU – Seorang pemilik restoran didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan logo halal tanpa sijil perakuan sah di premisnya pada November lalu.
Hakim Zulkifli Abllah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya Lim Beng Kee, 48, selaku orang kena saman (OKS) gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berkuasa di restoran miliknya di Jalan Temenggong, di sini kira-kira pukul 12.46 tengah hari pada 18 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammadi Iman Masjuri manakala OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM20,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, wang jaminan sebanyak RM8,000 turut dikembalikan kepada OKS dan Beng Kee membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE