KUCHING – Remaja lelaki berusia 15 tahun yang menyebabkan lima kematian dalam kemalangan ngeri di Jalan Stutong Baru di sini akan dituduh dengan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuching esok.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata ia susulan siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 telah selesai dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.
“Jabatan Peguam Negara telah memutuskan remaja tersebut dituduh dengan dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan Seksyen 39(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan semasa berumur kurang daripada 16 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau berkata bapa remaja terbabit yang berusia 35 tahun akan turut dituduh di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana sebagai penjaga kepada tertuduh telah meninggalkan tertuduh tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan terhadap tertuduh.
Dalam kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari 14 Januari lalu, kereta dipandu remaja lelaki terbabit yang hilang kawalan telah merempuh tiga buah kenderaan dan dua motosikal.
Akibat kemalangan itu, empat orang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak semasa menerima rawatan pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE