BALIK PULAU – Seorang pemandu lori dilaporkan maut selepas kenderaan muatan tar yang dia pandu itu terbabas di selekoh jalan kawasan berbukit dan terbalik di Jalan Tun Sardon di sini, malam tadi.
Mangsa, Shahrizal Ahmad, 44, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian kabin lori, belakang tempat duduk pemandu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.22 malam tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat ,(BBP) Seri Balik Pulau yang diketuai Komander Operasi, Mohd. Faiz Helmi.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori membawa muatan tar telah terbabas di selekoh
bahu jalan kawasan berbukit dan terbalik.
“Terdapat seorang mangsa lelaki telah tercampak dan tersepit di bahagian ruangan kabin lori. Komander Operasi membuat ‘Size Up’ dan kerja-kerja penstabilan kenderaan dilakukan.
“Mangsa yang tersepit telah berjaya dikeluarkan pada pukul 12.48 malam tadi dengan menggunakan peralatan khas ‘ Rescue Tool ‘,” katanya di sini, sebentar tadi.
Beritahu beliau lagi, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.
Tanbahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.35 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE