BAGAN SERAI – Isu pembelian semula tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini, kini dalam perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) apabila pihak berkenaan telah menerima rujukan rasmi berhubung perkara itu Jumaat lalu.
Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Yusuf Majid berkata, perkara itu dibawa ke perhatian MAIPk selepas perbincangan dibuat bersama pihak Pejabat Agama Islam Daerah bagi mendapatkan penyelesaian sewajarnya.
“Memang betul isu ini telah dibincangkan lebih awal, namun pihak pejabat agama menasihatkan supaya ia dirujuk terus kepada MAIPk yang lebih berautoriti dalam hal ehwal tanah wakaf.
“Saya yakin MAIPk akan bertindak segera kerana mereka amat prihatin terhadap amanah wakaf dan kepentingan umat Islam,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Yusuf berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan hak milik wakaf terus terpelihara dan kebajikan jemaah masjid tidak terjejas.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa struktur tambahan di masjid berkenaan berdepan risiko dirobohkan kerana dibina di atas tanah wakaf yang didakwa telah terjual kepada seorang pemilik bukan Islam. Susulan pendedahan itu, pemilik berkenaan menawarkan semula penjualan tanah tersebut dengan harga RM1.8 juta.
Tawaran itu mencetuskan gelombang sokongan umat Islam di seluruh negara yang tampil membantu. Hanya dalam tempoh 36 jam, kempen sumbangan berjaya mengumpul RM2.3 juta jauh melebihi jumlah harga yang ditetapkan pemilik asal. – KOSMO! ONLINE