GUA MUSANG – Lebih 30 penduduk Orang Asli di Kampung Ceranok, Pos Simpor di sini, hidup dalam ketakutan dan tidak dapat tidur lena apabila seekor gajah liar memasuki kawasan penempatan dan merosakkan kebun yang diusahakan mereka sejak dua minggu lalu.
Mereka mendakwa, gajah berkenaan berada di kawasan kebun dan merosakkan pokok ubi kayu, ubi keledek dan pisang yang diusahakan.
Seorang penduduk, Sarina Hasan, 40, berkata, gajah liar yang datang hampir setiap hari itu menyebabkan sumber makanan sara diri keluarganya berkurangan.
Selain itu, katanya, kehadiran haiwan berkenaan turut mengancam keselamatan mereka.
“Hampir setiap malam gajah liar akan masuk ke dalam kebun dan merosakkan hasil tanaman. Kami buntu memikirkan nasib apabila penduduk di sini bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber makanan.
“Jika keadaan ini berterusan, kami bimbang sudah tiada hasil tanaman seperti pisang, ubi kayu dan padi bukit untuk dijadikan makanan keluarga,” katanya.
Wakil komuniti Pos Simpor, Winson Bah Kuasan, 35, berkata, laporan mengenainya sudah dibuat kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Katanya, penduduk berharap penyelesaian jangka masa panjang dapat dilakukan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengatasi masalah penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Gajah liar itu sangat membimbangkan penduduk kerana ia merosakkan hasil tanaman. Kami telah melakukan tindakan menghalau dan menyalakan unggun api, namun tidak berhasil.
“Kami sangat menghargai sumbangan beras selain bakul makanan oleh pihak Jakoa dan wakil rakyat setiap kali berlaku serangan haiwan liar, namun bekalan itu bertahan untuk satu hingga dua minggu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap agensi berkaitan dapat membuat penyelesaian konflik haiwan liar dan penduduk di kawasan pedalaman.
Katanya, pihaknya telah mengagihkan bantuan beras bagi membantu penduduk yang terkesan dengan ancaman haiwan liar.
“Penduduk di kawasan pedalaman juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan memantau pergerakan ahli keluarga ketika berada di kawasan kebun atau hutan.
“Saya harap Perhilitan datang membantu menyelesaikan masalah ini dengan menghalau gajah liar bagi meredakan ketakutan penduduk,” katanya.













