fbpx
Kadar dan trend jenayah antara indikator penting yang digunakan untuk menilai keamanan sesebuah negara. - Gambar hiasan

Rakyat berperanan basmi jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EPISOD kes jenayah yang berlaku sejak tahun lalu memberi kesan kepada negara sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Kebimbangan ini mula disuarakan susulan kejadian yang menimpa seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayan Abdul Matiin yang ditemui maut berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.

Selain itu, pada 5 Mei tahun lalu, negara gempar susulan kes simbah asid membabitkan pemain bola sepak negara, Faisal Halim hingga mengalami kecederaan melecur tahap empat.

Setelah setahun berlalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang disyaki diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 9 April lalu.

Sehubungan itu, rata-rata meluahkan rasa bimbang selain mempersoalkan tentang keselamatan mereka. Antara soalan yang dilihat berlegar ‘adakah Malaysia masih aman?’

Bagi penulis, ini bukanlah satu persoalan negatif, sebaliknya pandangan yang harus diambil berat dan serius oleh semua pihak.

Kadar dan trend jenayah antara indikator penting yang digunakan untuk menilai keamanan sesebuah negara selain kestabilan politik dan hubungan antarabangsa.

Menurut laporan Institut Ekonomi dan Keamanan, Malaysia berada di kedudukan ke-10 Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) sebagai negara paling aman di dunia dan kedua di Asia Tenggara selepas Singapura.

Bagaimanapun, jumlah kes jenayah indeks direkodkan meningkat sebanyak 11.1 peratus kepada 58,225 kes pada 2024 berbanding 52,444 kes pada 2023, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pakar kriminologi Universiti Utara Malaysia, Dr. Zalmizy Hussin berkata, persepsi masyarakat terhadap jenayah tidak semestinya selari dengan statistik sebenar.

“Meskipun jika data menunjukkan penurunan, kebimbangan awam kekal tinggi kerana persepsi negatif yang dipengaruhi media sosial dan pengalaman peribadi individu,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, keamanan negara tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.

“Peranan rakyat adalah penting dalam mengekalkan keharmonian. Pendidikan sivik dan kesedaran sosial harus dipertingkatkan,” ujarnya.

Justeru, dengan gabungan penguatkuasaan berkesan dan penglibatan masyarakat, Malaysia mungkin dapat mengekalkan tahap keamanan sambil bersedia menghadapi cabaran jenayah yang semakin kompleks.

Daripada pemimpin negara hingga ke rakyat biasa, semua perlu memainkan peranan dalam membasmi jenayah, menyemai perpaduan, dan memperkukuh institusi negara.

Bagi penulis, Malaysia masih berdiri sebagai sebuah negara yang aman, namun ia bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN