fbpx
Jika anda mendambakan percutian dengan pemandangan indah sawah padi di Sekinchan, Selangor, sekarang adalah masa terbaik kerana sawah di fasa golden view sebelum padi dituai dijangka pertengahan Mei atau awal Jun.

Masa terbaik bercuti di sawah Sekinchan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RASA ingin lari sebentar daripada kesibukan hidup di bandar membuatkan Nur Anis Muhamad Ja’afar dari Ipoh, Perak memilih untuk menenangkan diri dengan bercuti di kawasan sawah padi.

Bahkan, Nur Anis, 26, menganggap percutian di kawasan sawah padi sebagai satu pengalaman unik kerana padi yang menghijau, ditambah pula dengan suasana rumah kampung cukup mendamaikan jiwa.

Berkongsi dengan CitaRasa, wanita yang mesra disapa Anis itu memberitahu dia memilih bercuti ke Sekinchan, Selangor baru-baru ini.

Sememangnya, Sekinchan dan kawasan utara Selangor seperti Sungai Besar dan Tanjung Karang terkenal dengan sawah padi. Sekinchan khususnya menjadi tumpuan warga Lembah Klang atau bandar-bandar sekitarnya untuk menikmati percutian sawah padi kerana menawarkan pelbagai tarikan.

Nur Anis mengakui terpukau apabila melihat suasana yang cantik di inap desa pilihannya yang terletak betul-betul di tengah sawah bendang dan jauh daripada bunyi bising kenderaan.

Nur Anis berkata, penginapannya di Inap Desa Dangau Padi 7 itu sebenarnya berlaku tanpa dirancang.

“Saya sebenarnya datang ke Sekinchan kerana mahu mencuba beberapa menu terkenal seperti mentarang dan mencuba kopi sawah yang ada di kawasan itu.

“Alang-alang mahu cuba makanan tular, saya fikir mungkin saya boleh tinggal di inap desa yang ada di kawasan sekitar bersama keluarga,” katanya.

Anis berkata, pelbagai aktiviti ditawarkan oleh inap desa di situ seperti memancing di kolah dan berbasikal di kawasan sekitar.

“Namun, apa yang paling saya suka adalah apabila kami sekeluarga berpeluang membungkus makanan dari luar dan bersarapan bersama di sebuah gazebo yang terletak di hadapan inap desa, sambil melihat keindahan sawah padi,” katanya.

Bagi Nurul Izzati Abu Bakar dari Melaka pula, dia telah berkunjung ke Sekinchan kerana mahu merasai sendiri suasana kampung ditemani kehijauan sawah padi yang disifatkan sebagai sesuatu yang tiada di bandar.

“Percutian itu adalah bersama suami, anak perempuan dan ibu bapa saya. Biarpun cuma short trip, namun bagi saya cukup bermakna sebagai kenangan kami sekeluarga,” katanya.

Wanita berusia 29 tahun itu menyifatkan Sekinchan sebagai satu lokasi yang cukup mendamaikan, memandangkan inap desa pilihan iaitu Inap Desa Kayu Anis Raudhah itu memberi ‘vibe’ kampung dengan pemandangan sawah padi.

“Itu merupakan kali pertama saya bercuti ke Sekinchan dan saya pasti akan kembali lagi ke sana jika berkesempatan,” katanya.

Satu keluarga menjamu selera dalam suasana yang mendamaikan di persekitaran sawah padi.

Percutian di kawasan sawah padi sememangnya menawarkan pengalaman menarik, khususnya buat mereka yang sukakan keindahan alam.

Peluang merasai suasana desa sawah padi, menginap di rumah papan dan memancing bersama keluarga merupakan antara faktor yang mendorong orang ramai memilih untuk bercuti di kawasan sawah padi di negara ini seperti Sekinchan, Tanjung Karang dan Sabak Bernam.

Pemilik Pepadi Homestay Sekinchan, Muhamad Hafizi Arshad, 32, berkongsi, inap desa miliknya yang dibuka pada 2020 merupakan perniagaan keluarga bertujuan memberi pengalaman bercuti di kawasan bendang.

“Pada mulanya, kami membuka inap desa ini sebagai lokasi untuk keluarga dan rakan-rakan bersantai dalam suasana kampung.

“Oleh kerana permintaan yang tinggi, maka kami kemudian menambah inap desa ini menjadi empat buah unit, dengan dua daripadanya adalah khusus untuk keluarga besar,” katanya.

Anak kelahiran Sekinchan itu menambah inap desa tersebut menyediakan beberapa aktiviti menarik seperti memancing di parit yang terletak di hadapan inap desa, bermain layang-layang dan menyewa basikal untuk bersiar-siar di kawasan sekitar.

Muhamad Hafizi berpendapat, percutian di kawasan sawah padi ini sentiasa mempunyai peminat.

“Jika bercakap tentang trend bercuti di sawah padi ini, saya rasa ia mungkin popular sejurus selepas pandemik Covid-19 sudah sedikit mereda.

“Ketika itu juga, tempahan inap desa saya sentiasa penuh. Sehingga kini pun masih ramai yang sukakan pengalaman bercuti sebegini yang cukup menenangkan.

“Cuma kalau tujuan bercuti ke sini untuk melihat keindahan sawah padi, Mac hingga Jun ialah waktu terbaik mengunjunginya,” katanya.

Muhamad Hafizi juga menyifatkan kawasan sawah padi mempunyai pesonanya yang tersendiri, dek kerana kehijauan dan kawasannya yang lapang.

“Jika dibandingkan dengan keindahan alam semula jadi seperti kawasan air terjun, misalnya saya berpendapat sawah padi ini adalah terjemahan sebenar kepada frasa ‘luas pemandangan’.

“Apabila kita memandang ke kawasan sawah padi, ia adalah sebuah kawasan yang terbuka luas tanpa tanaman lain seperti pokok dan itu yang menjadikannya berbeza serta menarik,” ungkapnya.

Selain itu, percutian sawah padi juga bagi Muhamad Hafizi tidak memerlukan belanja yang besar dan masih boleh dikategorikan sebagai percutian menyeronokkan pada harga berpatutan.

“Jika di Pepadi Homestay, harga yang kami tawarkan adalah serendah RM150 hingga RM370 satu malam,” katanya.

Sementara itu, pihak Villa Chee Sekinchan ketika dihubungi berkata, sekarang adalah waktu terbaik untuk mengunjungi sawah padi di Sekinchan sebelum padi akan dituai berkemungkinan pada pertengahan Mei.

“Padi menghijau sekitar Mac hingga April lalu dan kini berada pada fasa ‘golden view’. Sekarang ialah masa terbaik.

“Saya khuatir hujung bulan ini sudah dituai. Kalau sudah dituai, pemandangan sudah kurang cantik kerana sawah sudah kosong dan hanya seperti padang.

“Musim seterusnya nanti suasana padi menghijau mungkin boleh dilihat pada bulan Oktober dan November,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN