fbpx
Mohd. Khairuddin (tengah) menyantuni peserta projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah, Paka, Dungun semalam.

Rampas kebun kelapa tindakan zalim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNGUN – Kerajaan negeri Terengganu digesa agar memba­talkan hasrat untuk mengambil tapak projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah, Paka di sini, untuk dijadikan tapak perumahan Rancangan Ta­nah Berkelompok (RTB).

Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, biarpun tanah seluas 40 hektar itu milik kerajaan negeri, namun hak 90 peserta terlibat tidak boleh diketepikan.

Ini kerana katanya, mereka telah mengusahakan kebun kelapa tersebut selama 19 tahun dengan pengetahuan dan soko­ngan kerajaan menerusi Jabatan Pertanian.

“Hasil yang dapat hari ini daripada kepenatan dan kepayahan mereka. Mengikut hukum syarak, tanah ini milik mereka kerana te­lah diusahakan 19 tahun de­ngan bantuan kerajaan.

“Alasan agihan tanah itu (untuk tapak rumah) dapat memberi manfaat lebih ramai iaitu 600 orang tidak tepat, malah menzalimi 90 peserta projek kelapa pandan berkenaan,” katanya di Kampung Tebing Tembah, Paka di sini semalam.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan peserta projek kelapa pandan terbabit.

Mohd. Khairuddin berkata, peserta projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah pernah dijanjikan hak milik tanah terbabit, namun ia tertangguh berikutan pertukaran kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2018.

Beliau mengesyorkan kerajaan negeri Terengganu agar membina projek perumahan RTB terbabit di tapak lain yang lebih sesuai.

Seorang peserta, Jariah Ghani, 70, merayu kerajaan negeri tidak mengambil tanah itu kerana kebun kelapa sahajalah sumber pendapatannya sejak kematian suami beberapa tahun lalu.

“Kebun itu memberikan hasil kepada kami sekeluarga menerusi penjualan buah kelapa muda dan nira,” katanya.

Kosmo! Ahad 4 Mei lalu me­laporkan sekumpulan 96 peserta projek kelapa pandan tidak berpuas hati kerja keras mereka mengusahakan kawasan itu sejak 19 tahun lalu sia-sia ekoran mendakwa status tanah tersebut ditarik oleh kerajaan negeri bagi dijadikan tapak perumahan.

Pengerusi Penyelaras Projek Kelapa Pandan Kampung Tebing Tembah, Abd. Wahid Kasim mendakwa, kawasan seluas 40 hektar berkenaan tiba-tiba terpaksa di­serahkan semula tanpa sebarang perbincangan awal dengan peserta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN