PETALING JAYA – Sebanyak 230 daripada 390 projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah telah siap sepenuhnya sehingga bulan ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek-projek berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat di negeri itu.
“Tidak kira di bandar, pinggir bandar atau kawasan pedalaman, akses pendidikan berkualiti hak semua murid.
“Ini iltizam Kerajaan Madani,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Fadhlina berkata, projek pembangunan semula bangunan sekolah daif perlu dipastikan berjalan lancar demi manfaat semua murid.
Menurutnya, beliau telah meminta pemantauan setiap projek dilakukan secara proaktif dan sebarang isu kelewatan diberi perhatian serius.
“Komitmen Kerajaan Madani jelas. Pada tahun 2025 sahaja, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah.
“Ia turut merangkumi kelulusan bagi 52 projek baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE