SINGAPURA – Pengasas bersama syarikat Microsoft, Bill Gates mengundang perhatian orang ramai apabila menikmati pelbagai hidangan tempatan termasuk durian di sebuah medan selera di Singapura, lapor portal berita VNExpress semalam.
Gates berkunjung ke Newton Food Centre, salah satu pusat penjaja paling popular di Singapura petang Selasa lalu, demikian menurut laman berita Channel News Asia.
Kehadiran Gates mengejutkan ramai pengunjung dengan lebih 80 orang berkumpul di sekelilingnya.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok menunjukkan Gates sedang menikmati buah durian di medan selera itu.
Dia turut mencuba pelbagai juadah dan minuman lain seperti nasi ayam, sate, sup bebola ikan, kek lobak merah, roti prata, jus limau nipis serta air tebu.
Gates berkunjung ke Singapura untuk berucap pada Sidang Kemuncak Filantropi Asia 2025, di mana beliau mengumumkan Yayasan Gates akan membuka pejabat baharu di negara itu. – AGENSI