JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat menawarkan pinjaman wang tanpa lesen atau along yang menyasarkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam operasi yang dijalankan pada 17 April lalu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 34 tahun dan seorang wanita berumur 27 tahun.
Jelasnya, kesemua suspek menerima upah antara RM100 hingga RM350 bagi melakukan perbuatan khianat seperti menyimbah cat, mengunci pintu rumah dan mengugut mangsa yang gagal membayar pinjaman.
“Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah sebuah kereta, empat telefon bimbit, tong cat, pisau kecil, rantai kunci bersama anak kunci, helaian butiran mangsa dan peralatan menulis untuk nota ugutan.
“Sindiket menyasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan menawarkan pinjaman menerusi media sosial seperti Facebook dan TikTok.
“Pinjaman dimasukkan terus ke akaun bank peminjam tanpa perjanjian rasmi dan dikenakan faedah antara 20 hingga 50 peratus. Urusan transaksi dilakukan melalui akaun berdaftar di Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, kesemua suspek turut didapati positif methamphetamine.
Beliau berkata, polis percaya penangkapan ini, sembilan kes berjaya diselesaikan dengan enam di Johor (termasuk Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Kluang dan Seri Alam) serta tiga di Pahang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (untuk dakwaan khianat), Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (bagi kesalahan gangguan terhadap peminjam) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (bagi dakwaan penggunaan dadah).
“Pertuduhan dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE