fbpx

Daftar segera semua infrastruktur, perkuburan Islam di atas tanah wakaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa semua institusi masjid, surau, sekolah agama dan tanah perkuburan Islam yang berada di atas tanah wakaf agar segera mendaftarkannya dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim berkata, pendaftaran itu adalah satu-satunya jalan sah untuk memastikan tanah tersebut dilindungi daripada sebarang pemindahan atau pelanggaran kepada niat pewakaf.

“Kami juga menyokong penuh cadangan agar sistem pendaftaran tanah wakaf di Perak ditambah baik dan dipermudah, dengan kerjasama rapat antara Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), pejabat tanah dan MAIPk.

“Penguatkuasaan dan pemantauan berkala juga perlu diperluas bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di Bagan Serai yang telah bertukar milik kepada individu bukan Islam.

Khairol Najib berkata, Pemuda Amanah turut menyambut baik komitmen Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Perak yang tampil memberikan bantuan perundangan dan nasihat dalam isu ini.

Katanya, tindakan sebegini mencerminkan semangat kerjasama antara profesional dan masyarakat demi memelihara institusi wakaf.

Pada masa sama, katanya, mereka menyokong penuh langkah kerajaan negeri Perak dan JAIPk yang bertindak pantas dalam usaha menebus semula tanah tersebut bagi menjamin kelangsungan institusi masjid.

Media terdahulu melaporkan kutipan yang dilancarkan secara dalam talian oleh JAIPk dan masjid tersebut berjaya mencapai sasarannya kurang dari tempoh 36 jam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI