fbpx

‘Karya terbaik di UTV, hasil kerja Erma tak dipertikai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADZLINA (kanan) bekerjasama dengan Rumah Karya Citra sebagai rakan strategik dalam menghasilkan karya berkualiti. 

BAGI meluaskan empayar perniagaan, USANITA Sdn. Bhd. mengambil langkah berani menubuhkan platform penstriman (OTT) iaitu UTV yang bakal menemui peminat drama atau filem tempatan.

Bersama tagline Stream For You, UTV menawarkan pengalaman hiburan bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh emosi, selari dengan identiti masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

UTV juga akan berkolaborasi dengan syarikat produksi tempatan milik penerbit dan pelakon Erma Fatimah, Rumah Karya Citra Sdn. Bhd. bagi menghasilkan karya berkualiti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn. Bhd., Datuk Adzliana Hasan, penubuhan UTV untuk memberi peluang kepada lebih ramai penggiat seni dan pembikin kandungan Malaysia berkembang serta mengetengahkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Idea penubuhan UTV ini tercetus kerana kami melihat ruang yang sangat besar dalam pasaran untuk kandungan tempatan yang berani, asli dan menyentuh hati.

“Kami percaya Malaysia kaya dengan bakat dan kisah yang mampu memberi inspirasi, bukan sahaja kepada penonton tempatan, malah di negara serantau.

“Dengan UTV, kami ingin mencipta sebuah platform yang bukan sahaja menayangkan kandungan tetapi mendidik, menyatukan dan memperkasakan suara rakyat Malaysia terutama golongan wanita  agar mereka mendapat tempat sewajarnya dalam industri hiburan digital,” katanya.

Adzliana atau lebih mesra disapa Nana turut menyifatkan UTV dan Rumah Karya Citra sebagai kerjasama terbaik berdasarkan hasil kerja dihasilkan syarikat produksi tersebut sebelum ini.

“UTV dan Rumah Karya Citra adalah rakan strategik, segala pembikinan melibatkan hiburan terutama telefilem dan filem kami akan bekerjasama.

“Ini kolaborasi terbaik, karya-karya Erma tak perlu dipertikai berdasarkan hasil yang sudah dilakukan sebelum ini,” ujarnya.

Siap siaga

Sementara itu, Erma bersiap siaga menghasilkan kandungan di luar kebiasaan selain menambahkan lagi produk sedia ada.

Dia juga memaklumkan platform tersebut tidak perlu dilanggan tetapi penonton hanya perlu membayar berdasarkan karya yang mereka suka.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah sebuah lagi penerbit akan memeriahkan industri perfileman negara. Matlamat kami sama iaitu untuk memperjuangkan industri seni.

“Drama-drama saya tidak seperti yang biasa keluar dalam televisyen. Jadi, kita memilih platform OTT supaya dapat lahirkan karya yang tidak terikat dengan permintaan dan kehendak netizen. Saya buat apa yang nak sampaikan kepada netizen.

“Pengguna tidak perlu melanggan platform tersebut tetapi mereka hanya perlu bayar tajuk yang mereka suka,” jelasnya.

UTV bakal menawarkan pelbagai kandungan premium termasuk drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara, serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan cita rasa generasi digital hari ini.

Lebih istimewa, Usanita Entertainment turut melantik Erma sebagai penasihat saluran bagi memastikan kualiti setiap produksi UTV menepati standard terbaik dan berdaya saing.

 

 

 

Adzlina meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Fattah dan Sophia Albarakbah sebagai wajah platform penstriman UTV.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI