PETALING JAYA – Seorang pengguna Facebook, Shah Rizal tampil memberi penjelasan selepas satu hantaran luahan hatinya mengenai insiden isterinya dihina telah mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen.
Menurut Shah Rizal, niat asalnya hanyalah untuk meluahkan rasa terkilan apabila isterinya dikatakan dihina oleh seorang wanita, namun tidak menyangka perkataan ‘Axia je pun’ dalam kapsyennya mengundang kecaman ramai.
“Tak sangka ‘post’ (hantaran) saya semalam jadi viral. Awalnya saya cuma nak luahkan isu isteri saya dihina oleh seorang perempuan. Tapi banyak orang salah faham disebabkan saya cakap ‘Axia je pon’.
“Ayat itu sebenarnya merujuk kepada perempuan yang menghina isteri saya, bukannya ditujukan kepada semua pengguna Axia. Kami sendiri ada Axia, jadi tak logik saya nak hina kereta sendiri,” tulis pemilik akaun tersebut di ruangan kapsyen.
Jelasnya, gambar kereta yang dimuat naik itu adalah kenderaan miliknya yang digunakan pada hari kejadian, dan dia langsung tidak berniat untuk menunjuk atau berlagak.
“Saya tak ada tulis pun nak tunjuk kereta mewah. Saya pun naik Proton saja. Mungkin salah saya juga sebab tak jelas apa yang saya nak sampaikan,” katanya.
Menurut Shah Rizal, meskipun tujuannya hanya mahu meluahkan rasa terkilan terhadap perbuatan individu terbabit, ada segelintir netizen yang tetap mengambil kesempatan untuk menghina isterinya di ruangan komen.
“Saya tak kisah kalau netizen nak kecam saya sebab salah tulis ayat, tapi janganlah hina isteri saya,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memahami maksud sebenar di sebalik hantaran tersebut dan memberikan sokongan kepadanya.
“Saya faham cerita tuan. Ayat tu tuan hanya tujukan pada perempuan tersebut. Saya pun guna Axia, Saya tak terasa pun,” komen Roslija Hashim.
“Biasalah tu kadang apa yang kita tulis tak sama dengan apa yang orang baca. Nada tu berubah, sedangkan yang nak kita sampaikan tu lain,” kata Norsyafiqah Mohd Puzi. – KOSMO! ONLINE